Malaysia Tanah Airku....

July 17, 2007

Pemikiran Yang Terbantut

Mistik nya orang kita, antara percaya dengan tidak…sebenarnya saya teringat majlis perkahwinan yang saya kunjungi hujung minggu lepas. Dalam kemeriahan dan kesibukan menguruskan majlis perkahwinan itu, nampaknya cuaca tidak berpihak kepada tuan rumah. Awan kelihatan mendung dan hitam memekat, seakan-akan pada bila-bila masa sahaja ia akan memuntahkan isi nya. Suasana ini amat mengusarkan pihak tuan rumah apabila mengenangkan apakah implikasi yang akan timbul terhadap majlis itu, sekira nya hujan ditakdirkan turun dengan lebat nya. Dalam kegusaran itu, muncul makcik-makcik di dapur yang mengeluarkan berbagai petua lama, antara yang paling popular ialah membuang pakaian pengantin ke atas bumbung rumah ( ada versi yang saya dengar ialah dengan membuang pakaian “dalam” …).

Kelihatan juga Pak Tua, membawa sebatang penyapu lidi, sebatang cili kering dan seulas bawang besar menuju ke hadapan rumah, lalu meletakkan penyapu lidi ini secara songsang dan mencucukkan bawang merah dan cili tadi di atas penyapu lidi tersebut sambil mulut terkumat kamit membaca doa memohon agar hujan dapat dielakkan. Sebenar nya cara ini amat “biasa” bagi saya kerana saya pernah melihat cara-cara mengalih hujan sebegini di beberapa majlis besar anjuran kerajaan dan swasta di sekitar Selangor, Melaka dan Johor. Tidak cukup dengan itu, acara mengalih hujan ini juga dimeriahkan, apabila, kelihatan pak cik tukang masak mencuba pula ilmu yang ada di dada, cangkul di tangan tampak berusaha mengali-gali lubang di belakang kemah memasak lalu ditanamkan seketul besi buruk yang dibalut kain kuning ke dalam tanah, kemudian dibiarkan cangkul itu tertangkup menghuni di atas perut busut tanah yang baru dikambus.

Setelah puas melihat acara-acara mengalih hujan, Maka kerja-kerja urusan majlis pun berjalan seperti biasa, kesibukan menguruskan majlis tersebut telah melupakan sekejap topik “hujan” buat seketika. Nampak nya Alhamdullillah dengan takdir Allah s.w.t. hari itu, hujan tidak turun sehingga ke akhir majlis tersebut, malah laporan yang diterima dari tetamu yang hadir, kelihatan nya hujan telah turun dengan amat lebatnya, di sekitar kawasan berhampiran.

Nampak nya pada hari itu bomoh-bomoh hujan tidak “bertauliah” ini telah menafikan ketepatan ramalan cuaca yang dikeluarkan sebelum ini. Hebat betul orang kita, malang nya ia tidak dapat diguna pakai untuk kepentingan negara dan dunia, Sekiranya benar orang kita hebat, maka dapat lah dia membantu menidakkan hujan dari turun di tempat-tempat yang selalu banjir seperti K. Lumpur ini. Malah mungkin akan menjimatkan duit rakyat, kerana tidak perlulah kita membuat terowong SMART….

Terlintas di fikiran kita, benarkah semua ini? Kalau ia benar, kenapa pula kejadian ini hanya berjaya dibuktikan di dalam kes-kes serta waktu-waktu atau tempat-tempat tertentu sahaja? Sebegitu hebat nya pukulan ilmu alih hujan ini, pasti nanti akan wujud satu kerjaya atau profesyen yang professional sebagai bomoh hujan atau pawang hujan yang menjanjikan gaji yang lumayan samada di dalam negara ataupun di luar Negara sedikit hari nanti, kerana kita tidak boleh menafikan betapa penting nya profesyen ini diwujudkan jika perkara-perkara di luar adat ini mampu dibuktikan dengan cukup konsisten sekali.

Apapun peristiwa yang terjadi di majlis perkahwinan ini, kalau kita pandang dari sudut yang positif, kita boleh lihat bahawa tujuan penggunaan “unsur-unsur” mistik sebegini adalah bertujuan untuk kebaikan semata-mata. Dengan ada nya orang-orang yang mahir dalam bidang mengalih kan hujan ini maka akan wujud lah satu gerak usaha dan ikhtiar manusia sebelum berserah kepada takdir tuhan. Kelihatan nya usaha ini menambahkan keyakinan ahli-ahli di dalam majlis tersebut untuk meneruskan usaha membantu pihak tuan rumah mengaturkan majlis dan secara tidak lansung mendorong mereka bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan sepanjang majlis ini berlansung. Perkara-perkara sebegini amat menghiburkan dan mencabar minda manusia normal untuk berfikir akan kewajaran perbuatan tersebut. Apapun tindakan sebegini harus dipuji, kerana usaha adalah perlu sebelum menyerah segala nya kepada takdir. Cuma, janganlah perbuatan itu kelihatan syirik dan bertentangan dengan akidah agama islam yang suci.

Janganlah kerana kepercayaan mistik mengenai hujan, kita sanggup mewujudkan sebab-musabab yang tidak masuk akal dan menimbulkan pertelingkahan yang kelihatan sangat bodoh. Teringat saya satu peristiwa lama yang terjadi di satu kawasan DUN, tentang satu majlis yang dianjurkan pihak tertentu telah menyebabkan tercetus nya kekecohan apabila pihak penganjur mendakwa “lawan nya” telah merosakkan majlis mereka dengan cara menghantar hujan ke majlis tersebut sehinggakan majlis itu tidak mendapat sambutan. Hebat bukan….kalau kita percayakan “omongan” penganjur itu, kita juga harus yakin dan percaya, orang kita boleh buat lebih baik dari itu. Malah orang kita mempunyai peluang terbuka untuk berjihad di jalan Allah S.W.T. kerana mereka juga pasti mampu untuk menghantar hujan yang lebat-lebat ke negara Israel atau Amerika hingga menenggelamkan tentera mereka tanpa menggunakan senjata yang hebat-hebat…tetapi kenyataan nya amat susah untuk ditelan.....


p/s: Terdapat satu kajian kes dahulu kala yang mendakwa dengan keyakinan yang kental bahawa Tun Dr. Mahathir memiliki ilmu hitam dan memakai ilmu kebal di mana semua peluru dan senjata tidak akan menembusi tubuh beliau dan hanya peluru emas atau peluru yang dibuat dari buluh sahaja mampu membunuh Tun. Kelihatan amat dangkal dan melucukan dakwaan tersebut, sedangkan kita sedia tahu Tun Dr. Mahathir tidak mampu menangkis semburan ke matanya sedikit masa lalu malah tubuh nya alah kepada pisau pembedahan sang doktor pada tahun 1989…….Wahai melayu ubahlah pemikiran mu, berjuanglah menggunakan akal dan fikiran dan bukan nya cerita omong kosong yang bakal menganggu dan membantutkan akal pemikiran yang sihat…maaf dipinta bagi siapa yang terasa….

8 comments:

rapat_umum said...

setahu aku bomoh hujan ni kalau orang tua-tua dulu menjadilah dia punya mentera, tetapi kalau orang muda ni susah sikit nak percaya.

de_kerinchi said...

rapat_umum, ramai bomoh sekrang ni..bomoh duit yakni mata duitan...tak banyak dah bomoh yang terima wang seihklas hati....

Anonymous said...

Kaktie rasa, ada salah satu profesyen lagi boleh diwujudkan.

Jadi seorang pemeras ugut....cuba ugut DBKL kalau tak nak KL banjir mesti bayar kat bomoh ni..hihhi jangan marah. bergurau jer...

ayamsabung said...

Majlis besar memang pakai bomoh hujan,inilah yang dikatakan sediakan payung sebelum hujan.

de_kerinchi said...

kaktie

betul tu ..tu profesyen altenatif...tapi jangan lah dok ikut..huhuh

ayamsabung,

Sediakan duit sebelum hujan...baru bomoh tu buat kerja..

Koboi BM said...

Bercakap tentang Melayu sebenarnya kita masih jauh. Bercakap tentang bomoh hujan dengan terang-terang ianya haram. Salah satu rahsia yang sama sekali malaikatnya pun tidak tahu ialah ' Dimana Hujan Nak Turun " jadi hasrat saudara yang ingin mencari cerdik pandai bomoh hujan untuk bawa ke tengah pastilah tidak dapat. Jazakallah !

de_kerinchi said...

Salam saudara koboi bm

Memang benar kata saudara Melayu sebenarnya kita masih jauh kerana melayu ni…masing-masing penting kan diri sendiri dan suka tikam kawan . Tetapi saya rasa kalau disebut usaha dan tawakal, penggunaan bomoh hujan tidak jatuh haram, selagi segala perbuatan nya mentauhidkan Allah s.w.t dan tidak terpesong dari agama.Sekarang cara moden juga bukan setakat menurunkan hujan malah usaha-usaha mengalih hujan pun sedang dijalankan ….tidak salah berusaha menurunkan hujan di negeri kontang..mengalihkan hujan di negeri bah… semuanya untuk kepentingan manusia sejagat ..Jazakallahu Khayran...!!!

Koboi BM said...

Perkara haram yang diperkatakan sebenarnya harus di lihat dari berbagai sumber. Salah satunya ialah tentang hal yang mendekatkan syirik iaini akan ada yang membuat pergantungan dengan dukun hujan dan meminta pertolongan dari kaum yang fasik. Ini aja yang di takutkan kerana fasik membatalkan beberapa amalan. Yang baiknya saudara cuba rujuk kepada badan yang boleh mengimbangi hukum ini. Maksud saya baiknya hukum ini di keluarkan oleh mereka yang mempunyai hak untuk mengijtihadkan sesuatu hukum. Saya harap saudara dapat usahakan hal ini kerna kalau hukumnya kata ok bolehlah di kormesialkan bomoh tolak hujan ni. Memohon hujan kepada tempat yg kontang adalah 'harus'. ada solat sunat yang dianjurkan untuk memohon hujan dan ada solat sunat untuk memohon dielakan hujan sekiranya hujan ini mendatangkan mudharat kepada masyarakat. Sebaiknya orang kampung boleh melakukan solat sunat beramai-ramai sebelum sesuatu majlis tapi kalau pakai bomoh lagi short cut dah tentu masyarakat pilih bomoh.Akhir sekali kalau saudara mahu memanjangkan hukum in elok saudara refer kepada mana2 badan yang boleh membantu saudara memahami isu ini dan lantas mengijtihadkan hukum menolak hujan ini. sekian wasalam - wallahulam.

Blog Widget by LinkWithin