Malaysia Tanah Airku....

June 15, 2008

Dusun @ Kadazandusun - Siri Sabah 2



Disebabkan isteri saya berbangsa kadazandusun, maka saya telah dapat mengumpul beberapa artikel mengenai adat, tradisi, makanan, sejarah dan kehidupan bangsa kadazandusun untuk dikongsi bersama. Sepanjang percutian yang singkat tempoh hari saya sempat mencatatkan serba-sedikit pengalaman yang mungkin ramai dari kita di Semenanjung, tidak pernah tahu... Komen dari pembaca adalah dialu-alukan, untuk menambah atau memperbetulkan posting ini.

Kadazandusun merupakan satu kelompok masyarakat etnik peribumi yang terbesar di Sabah yang dikenal juga sebagai suku kaum Dusun. Suku kaum Dusun ini sebahagian besarnya tinggal di Bahagian Pantai Barat, Pedalaman, dan Pantai Timur Sabah. Kelompok-kelompok Dusun tersebut terdiri daripada 12 suku yang dikenali sebagai suku Dusun Papar, Dusun Putatan, Dusun Penampang, Dusun Ranau, Dusun Lotud, Dusun Kiau, Dusun Rungus, Dusun Tagas, Dusun Tempasuk, Dusun Tambunan, Dusun Tatana, dan Dusun Tungku atau Begahak. Suku-suku kaum Dusun bermukim di kawasan yang berasingan serta menggunakan dialek yang berlainan, tetapi tidak timbul masalah kekangan komunikasi antara satu suku dengan suku yang lain, lantaran ciri-ciri budaya yang dikongsi berdasarkan warisan bersama.

Terdapat suku kaum Dusun di Sabah yang dikenali dengan nama 'Kadazan'. Pada mulanya 'Kadazan' turut diklasifikasi sebagai bangsa yang sama serumpun dengan 'Dusun'. Apabila dimensi politik dilibatkan untuk mengelaskan suku-suku tersebut, keadaan menjadi tidak menentu. Bangsa Kadazan dan Dusun berkongsi bahasa dan budaya serupa, meskipun dengan perbezaan dalam dialek.

Yang membezakan bangsa Kadazan dan Dusun adalah disebabkan faktor kedudukan geografi tempat tinggal mereka. Bangsa Kadazan, menduduki tanah delta yang landai, yang sesuai untuk sawah pertanian, manakala bangsa Dusun pula, biasanya menduduki kawasan-kawasan berbukit dan bergunung-ganang di pendalaman Sabah. Perkataan "Kadazan" bermaksud "Kedai". Ini mengambarkan bahawa bangsa Kadazandusun ini menghuni dikawasan bandar-bandar, yang terdapat kedai-kedai, pendekkata kaum Khadazandusun ialah bangsa "Dusun" yang hidup didalam bandar. Dalam sebutan bahasa Malaysia ia disebut "Kekedaian" ataupun "Kekedazan" dalam bahasa dusun. Secara teorinya kaum ini sepatutnya hanya dipanggil bangsa "Dusun" dan bukannya Khadazandusun, memandangkan mereka ini adalah dari suku kaum yang sama.

Mitos asal-usul bangsa Dusun

Sejarah lisan atau Cerita Legenda yang popular menunjukkan bahawa Kadazandusun berasal dari tempat yang diberi nama "Pomogunan Nunuk Ragang". Tempat ini terletak di sebuah kawasan di sekitar muara pertemuan dua batang sungai iaitu sungai Kogibangan (dari arah kiri) dan Sungai Kawananan (dari arah kanan) yang telah bercantuman menjadi sungai yang lebih besar, yang dinamakan Sungai Liwogu (bermaksud dalam dan tenang).

Diceritakan orang bahawa, pada zaman dahulu kononnya ada sepohon pokok kayu ara yang besar dan luar biasa keadaannya tumbuh disitu. Sungai itu letaknya dekat dengan tempat yang sekarang ini bernama Kampung Tampias di daerah Lubuk Sugut, Sandakan. Pokok kayu ara yang disebutkan tadi, keseluruhannya berwarna merah, termasuk daunnya. Orang Dusun atau Kadazan memanggil pokok kayu ara itu sebagai 'Nunuk Ragang'. Dimana 'Nunuk' bererti pokok kayu ara dan 'Ragang' bererti merah.

Pada masa itu tempat tersebut belum lagi didiami oleh manusia. Pada umumnya, kawasan di mana terdapatnya Pohon Nunuk Ragang itu dipenuhi oleh hutan belantara yang hanya didiami oleh binatang-binatang buas dan liar sahaja. Kononnya pada masa itu terdapat seekor ayam jantan yang sangat besar, kira-kira sebesar seekor kerbau tinggal di situ. Ayam jantan tersebut dipercayai mempunyai kesaktian yang luar biasa.

Pada suatu hari ayam jantan itu mengais-ngais tanah untuk mencari makanan. Dengan tidak semena-mena terkeluarlah seorang anak muda yang kacak dari bawah tanah yang dikaisnya itu. Ayam jantan tersebut terus juga mengais-ngais dan mencakar tanah. Tidak lama kemudian keluar pula seorang gadis yang sangat jelita. Kedua-dua orang manusia itu diambil dan dipelihara oleh ayam jantan tersebut. Selang beberapa lama, maka kedua manusia itu pun dikahwinkan. Hasil perkahwinan itu lahirlah beberapa orang putera dan puteri. Keturunan mereka ini akhirnya berkembang, lalu mendiami kawasan yang pada mulanya tidak berpenghuni itu. Lama kelamaan tempat itu menjadi semakin ramai penghuninya.Keturunan ini disebut sebagai 'Orang-orang Nunuk Ragang' yang 'dipercayai' nenek moyang dan keturunan bangsa Kadazandusun sekarang ini.

Masyarakat terawal Kadazandusun dikatakan telah menghuni tempat ini dalam keadaan bebas, menikmati berbagai-bagai jenis bekalan makanan yang mencukupi, baik makanan daripada hutan mahupun daripada sungai serta hasil daripada usaha pertanian. Keperluan hidup yang lain juga mudah diperolehi di sekeliling perkampungan Nunuk Ragang ini.



Perayaan Kaamatan

Pesta Kaamatan atau di dalam bahasa Kadazan disebut "Magavau", merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati semangat padi atau dalam bahasa Kadazandusun disebut "Bambazon". Perayaan ini adalah amalan secara tradisi kaum kadazandusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi.

Mitos Asal-Usul Kaamatan

Mitos 1

Terdapat banyak sebutan perkataan Magavau ini mengikut dialek dan lokasi suku kaum Dusun. Walau bagaimanapun ianya tetap membawa maksud yang sama. Menurut cerita lisan, Kinoingan(Dewa) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Dusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinoingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun. Huminodun dibunuh dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kaum Dusun. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambazon". Bermula dari kejadian inilah orang-orang Dusun memulakan upacara Pesta Kaamatan(Pesta Menuai). Perayaan seumpama ini dirayakan dengan harapan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai/tangkob (bekas tempat menyimpan padi). Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat Kaum Dusun akan Dewa Kinoingan yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.

Mitos 2

Dikisahkan, masyarakat Dusun pada zaman silam tinggal di suatu lembah yang subur. Pada satu hari berlakulah satu kejadian yang ganjil, dimana segumpal batu telah tumbuh di satu kawasan dalam lembah tersebut. Kian hari batu itu kian membesar. Kian hari kian panas pulalah cuaca di lembah itu. Akhirnya lembah yang subur itu kering kontang akibat ditimpa bencana kemarau. Tanam-tanaman serta binatang-binatang ternakan turut musnah. Dalam mengharungi malapetaka alam itu, beberapa orang kampung didatangi mimpi yang serupa. Kononnya mala petaka yang menimpa mereka akan berakhir jika seorang perempuan cantik yang berhati mulia dapat dijadikan korban kepada batu itu.

Hebohlah orang-orang kampung memperkatakan tentang mimpi itu. Maka Tok Ketua pun memanggil anak-anak buahnya ke balai, lalu berbincang tentang mimpi berkenaan. Walau bagaimanapun, mereka tidak sampai hati untuk mengorbankan nyawa manusia. Keputusan berdasarkan persetujuan ramai itu telah didengar oleh si Kinomulok, anak gadis Tok Ketua. Secara senyap-senyap Kinomulok menyusup ke kawasan batu yang kian membesar itu lalu terserempak dengan beberapa orang bobolian(pendeta). Si Kinomulok bertanya kepada mereka akan kebenaran firasat mimpi yang diheboh-hebohkan itu dan Bobolian mengiakannya. Gadis yang cantik dan berhati mulia itu tidak sanggup membiarkan orang kampungnya menderita apatah lagi mati kebuluran. Dia menawarkan diri untuk dijadikan korban tetapi orang-orang kampung yang berada di kawasan batu itu menolak tawarannya. Tiba-tiba kedengaran bunyi guruh yang amat kuat diiringi kilat sabung¬menyabung. Dengan tidak semena-mena si Kinomulok telah disambar petir.

Tubuhnya bercerai-berai. Kononnya darahnya bertukar menjadi padi. Giginya menjadi jagung manakala isinya pula menjadi timun. Pada malam selepas keja¬dian tersebut, orang-orang kampung bermimpi bertemu dengan si Kinomulok. Dia berpesan agar orang-orang kampung menghadiahkan tujuh tangkai padi kepadanya setiap kali selepas musim menuai padi. Dia juga meminta agar pokok jagung dan timun ditanam di bendang atau di sawah padi. Sebab itulah sehingga kini jagung dan timun masih ditanam di bendang dan di sawah padi. Kononnya, selepas si Kinomulok disambar petir baharulah batu itu berhenti membesar dan lembah kembali subur. Adalah dipercayai batu itu ialah Gunung Kinabalu yang ada sekarang. Masyarakat Dusun juga percaya roh si Kinomulok telah menjelma dalam bentuk Bambarayon yang menjadi semangat padi. Bambarayon ialah sejenis burung layang-layang yang berjambul. Secara alamiah, Bambarayon atau burung layang-layang tidak memakan padi. Serangga merupakan makanan utamanya. Di samping itu, burung layang-layang sering kelihatan berterbangan di kawasan bendang dan sawah padi. Dengan demikian gerak tari Sumazau juga telah dikaitkan dengan Bambarayon yang dianggap oleh suku kaum Dusun sebagai samangat padi.

Tulisan yang akan datang : Asal-usul Kg. Tenghilan

Tulisan berkaitan : Susur ke Poring

p/s: Tunggu hasil tulisan yang akan datang...

13 comments:

USD said...

Salam de_kerinchi,

Tahniah la ngan ceta baru ko ni, very interesting, ada benda baru, pengetahuan baru about kadazandusun.
Sesekali 'lari' dr soal2 politik gitu, ok jugak. Jgn mcm d blog s ladymariah tu, ada satu virus yg sgt bahaya...yg suka myalahkn org lain...dia aja yg btul...namanya virus tu...bayumurni

Anonymous said...

Mitos 1 yang menyebut nama Huminodun adalah sejarah Unduk Ngadau (Ratu Cantik Kaamatan). Unduk Ngadau adalah anak kepada Suminondu dan Kinohingan (nama tuhan bagi kaum kadazandusun @ KADUS).

Kinoringan telah mengorbankan anaknya Huminodun demi mengatasi masalah kebuluran di dunia.

Menurut kepercayaan suku kaum ini, segala jenis bahan makanan yang utama berasal dari pelbagai bahagian badan Huminodun.

Beras dari isinya yang putih melepak; darahnya yang merah telah bertukar menjadi lada; halia pula adalah jari jemari Huminodun; bawang 'tagaas' berasal dari rambut Huminodun; giginya bertukar menjadi jagung; kepalanya pula menjadi kelapa dan sebagainya.

Oleh itu demi menghormati dan mensyukuri pengorbanan Kinoringan dan Huminodun, nenek moyang suku kaum ini mengadakan upacara-upacara adat termasuklah Unduk Ngadau. Pencarian ratu cantik simbolik penghormatan terhadap Huminodun.

de_kerinchi said...

salam ustassaid,

blog ini memang berbagai, kalau ada isu politik tu, pasti ada sesuatu peristiwa yang beraku dalam politik negara...

Saya rasa tak salah untuk bertukar pendapat....dalam blog ladymarah memang dwujudkan berbentuk begitu, kerana beliau ada perkara yang hendak dibahaskan. bukan soal menyemai kebencian, tapi soalnya bolehkah kita duduk berbincang...

Bila masing-masing cuba menegakkan pendirian masing-masing, tanpa menghormati pendapat orang lain maka persengketaan dan salah anggap akan beraku...

Contoh terdekat baru-baru ini di TV1 ada forum yang ahli panelnya YB Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian, cuba untuk mengusulkan buah fikiran mengenai kenaikan minyak kepada Dato Sharir, tetapi Dato Sharir cuba memotong hujah dan seolah-olah melarikan isu topik perbincangan....tetapi akhirnya dihujug siaran ternyata Dato' Sharir mula sedar dan akur akan tujuan rancangan itu adalah forum untuk menjelaskan polisi kerajaan, bukannya dewan perdebatan....dan beiau menukar halatujuya..tahniah.. walaupun lambat sedar...apapun rancangan tersebut tetap mempuyai jawapan yang tergantung....


Salam Ladymariah,

Terima kasih atas tambahan maklumat..... :-)

ayamsabung said...

Bagus juga ni,satu informasi baru. boleh juga dikategori sebagai cerita rakyat.

Anonymous said...

salam...
hahahha. ada pulak yg menumpat di sini. aduina beliau, gali ati aku atu. mcm perempuan. erkk.. mengalahkan perempuan. huahuahua!

sorry de kerinchi, aku tumpang gelak kejap! wakakakakakakaa.

USD said...

hailadymariah, adoi dogu ko ni ada jugak di sini. perempuan suka mengumpat ka? sbg sorg pjuang sejati, jgn la ko rendahkn mertabatmu mcm perempuan2 lain mjd 'pengumpat sjati'!!!
psyy...ladymariah, mana bayumurni? takut aku ngan dia tu, org Jipun ba pulak. he he he

Anonymous said...

saya nk tahu lebih lanjut mengenai adat pertunangan masyarakat dusun..

Anonymous said...

saya rasa mitos 1 lebih tepat berbanding dengan mitos 2 yang berkaitan dengan asal usul perayaan keamataan..selama saya hidup, dan bergaul dengan orang2 tua di kampung, sya tidak pernah mendengar cerita yang berkaitan dengan mitos 2..

whitelily said...

thanx for your great info bout the dusun culture. Ini memberi banyak maklumat kepada saya memeandangkan bakal suami saya juga berketurunan dusun ranau. Jadi maklumat anda itu begitu berharga utk dikongsikan bersama :-)

UmaNdak bha Ni said...

some Corrections here:
1. Kg. Tampias Kg. Tompios(correct spelling)..
Kg.Tompios BUKAN terletak di daerah LUBUK SUGUT, SANDAKAN....Kg.Tompios ini terLetak di ZON PAGINATAN, DAERAH RANAU. Ok!!! I know because I lived in Ranau..

2.KEKEDAZAN word - Dlm penulisan Kadazan mahupun Dusun, tiada huruf 'E'. OK!!! 'E' digantikan dgn huruf 'A' atau 'O'. Ini depends on the sentences...

3. BAMBARAYON sebenarnya bukan burung layang-layang..Bambarayon merupakan 'semangat padi'.

4. Mitos 2 (Pesta Menuai) itu kurang tepat...So, Mitos 1 lebih tepat..

de_kerinchi said...

Terima kasih atas komen dan pembetulan.....

1)Ya disebabkan dialek yang berbagai ia disebut tampias or tompios....tetapi saya mengambil perkataan itu dari catatan yang telah dibuat oleh sabah tourism dan tercetak di makalah dan pamplet pelancong dan juga ia disebut terletak di Lubuk Sugut...kemungkinan ada sebab yang tertentu daerahnya di letak berlainan

2)sama dengan jawapan diatas ya bersangkutan dengan dialek setempat dan saya hanya mengambil perkataan yang dieja menggunakan ejaan yang selalu digunakan....tapi mungkin juga ia dieja menggunakan perkataan bahasa Malaysia standard dan tidak menggunakan ejaan dusun....

3) Sudah disebut di dalam artikel bembarayon adalah semangat padi ....dan ia berupa seekor burung.....mengikut mitos yang lainnya....mitos ada yang berbagai dan saya mengambil mitos yang disebut burung layang-layang.....

4)Ya selagi ya dinamakan mitos maka ya menjadi cerita rakyat zaman berzaman yang dibukukan dan disampaikan dari mulut kemulut sehingga beratus tahun..dibelbagai daerah dan suku...jadi tidak hairanlah terdapat perbezaan disitu...jadi mitos akan tetap tinggal pada namanya...kerana namanya juga mitos... ;-)

walaubagaimanapun terimakasih atas komen...ini akan dapat menambahkan dan memperkayakan catatan cerita atau sejarah orang-orang Sabah....

Anonymous said...

sumber yang sangat membantu..ponsikou

Anonymous said...

sumber yang sangat membantu..ponsikou

Blog Widget by LinkWithin