Malaysia Tanah Airku....

March 16, 2007

Rasuah Membentuk Gaya Hidup?


Rasuah adalah satu penyakit masyarakat yang telah berakar umbi sejak dahulu lagi. Di Malaysia ia merupakan wabak yang telah merebak dan harus segera dibendung. Mahu atau tidak , kita di Malaysia ini haruslah menerima hakikat bahawa rasuah di Negara kita ini berisiko untuk meningkat seiring dengan kemajuan ekonomi negara.

Bagaimana ia wujud? Tidak kira sektor atau jawatan apapun yang terlibat, peluang terjadi rasuah ini adalah tinggi. Selagi manusia memerlukan antara satu sama lain dan terdapat ruang untuk kita menggunakan kuasa maka bertambahlah peluang atau potensi rasuah untuk wujud. Faktor-faktor seperti tamak, ingin kaya, mendapat wang dengan cara mudah ataupun perkara-perkara mendesak seperti hutang, himpitan hidup dan lain-lain adalah faktor pemangkin menyebabkan rasuah ini terus subur mekar di dalam masyarakat kita.

Kadang-kadang tanpa kita sedari atau pun buat-buat tidak tahu perkataan rasuah itu akan ditukar sebutannya menjadi lebih lembut, iaitu seperti pemberian ikhlas, hadiah ikhlas, cenderahati, penghargaan dan bermacam-macam lagi bentuk sebutan yang molek. Kebanyakan penyesuaian sebutan ini hanya untuk menghalalkan proses rasuah itu untuk berlaku. Harus diingat selagi sesuatu imbuhan yang diberi adalah bersangkutan dengan sesuatu perkara yang berkepentingan maka ia akan dianggap rasuah.

Kita, seharusnya menaruh rasa bimbang terhadap kesan rasuah ini. Sekiranya ia terus berlaku , maka akan wujudlah krisis tanggungjawab dan amanah dalam urusan seharian. Tidak akan ada lagi ketelusan dan kepercayaan dalam menguruskan apa jua hal pun. Sama ada kita sedar atau tidak, rasuah yang dilakukan akan melibatkan keluarga dan masyarakat seluruhnya. Tidak terfikirkah kita, bahawa hasil rasuah yang kita , anggap rezeki ini akan menjadi darah daging kepada warisan kita. Setiap sumber rasuah yang masuk ketubuh warisan kita ini akan membentuk gaya hidup mereka kelak. Maka tidak hairan lah dewasa ini, kita selalu disogokkan dengan isu-isu yang menggerunkan seperti gejala Mat Rempit, Hubungan Seks Rambang, Buang Bayi, Skin Head , Black Metal, Punk, Call Girl dan seribu macam lagi gelagat negatif yang tidak mampu ditulis satu persatu.

Satu perkara yang kerap terjadi kepada penerima rasuah dan pemberi, ialah hubungan keakraban mereka adalah tidak kekal. Selagi mereka mempunyai kepentingan diantara satu sama lain selagi itulah hubungan baik akan terjalin, tetapi sekiranya kepentingan itu telah tiada selalunya hubungan baik itu akan menjad sebalik nya. disinilah akan timbul rasa tidak puas hati dan mewujudkan polemik dan tuduhan antara satu sama lain. Ini dibuktikan apabila berita rasuah ini kerap wujud di medium-medium berita kita akhir-akhir ini.

p/s: Hapuskan Rasuah, Tanggung Jawab Bersama.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin