Malaysia Tanah Airku....

March 18, 2007

Kasih Rakyat Kepada Pemimpin?

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa hubungan kasih sayang antara pemimpin dan rakyat adalah sebuah ikatan yang dijadikan landasan kukuh untuk memajukan masyarakat dan seterusnya membawa perubahan ke satu tahap yang lebih baik dari masa ke semasa. Apa yang dikatakan oleh Dato Seri Najib itu benar belaka, dalam apa jua hal pun didunia ini sekiranya kita ditanam dengan sikap kasih sayang maka semua perkara akan berjalan dengan baik dan indah belaka. Oleh kerana itu kta harus memastikan bahawa hubungan ini benar-benar tulin dan bukan berpura-pura.

Seterusnya Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya hubungan kukuh itu bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat tetapi berkait rapat dengan perilaku, budi, jasa dan tingkah laku kedua-dua pihak selama ini. Kita tidak mahu rakyat memuliakan pemimpin tetapi apa yang harus dimuliakan itu adalah hubungan kasih sayang itu sendiri,". Satu lagi kenyataan yang memang kena pada tempatnya. Sememangnya hubungan kukuh ini bukannya dibina atas dasar dibuat-buat, tetapi kita harus ingat ada juga sesuatu hubungan itu wujud atas sebab-sebab lain atau atas dasar kepentingan diri sendiri seperti untuk mempertahankan jawatan, mendapatkan projek, mengampu dan banyak perkara-perkara negatif lain nya. Kenapa ia berlaku? Sudah tentu ia berkaitan dengan sikap dan tingkah laku, apabila satu pihak telah melakukan satu perkara yang mengguris atau menekan pihak yang satu lagi maka terjadilah krisis hubungan di sini. Maka segala budi dan jasa yang ditabur selama ini akan terbang bagai debu. Dalam hal ini rakyatlah yang lebih banyak terguris dan tertekan dengan perilaku pihak kerajaan. ini dapat dibuktikan dengan tindak tanduk kerajaan yang antaranya membenarkan kenaikan harga yang menekan seperti kenaikan kadar minyak, tol, cukai tanah, cukai pintu, kadar elektrik, kadar air dan lain-lain lagi (termasuk perkara-perkara yang terpaksa dinaikkan atas sebab kenaikan harga yang disebut). Kenaikan yang menekan ini akan menyebabkan hubungan ini menjadi tidak harmoni dan akan menyebabkan perpecahan. Jesteru itu diharap pihak kerajaan dapat melakukan sesuatu tindakan drastik untuk memulihkan hubungan akrab yang kelihatan nya mula longgar dan penuh perasangka buruk.

Datuk Seri Najib juga berkata rakyat seharusnya bersyukur dan berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin negara yang selama ini berjuang dan berbakti bagi memastikan kemajuan dan kemakmuran rakyat. Sememangnya rakyat amat bersyukur dan berterimakasih dengan kemakmuran yang dikecapi selama ini. Jasa-jasa para pemimpin yang lalu, memang dikenang dan dihargai. Tetapi siapakah yang selama ini, tidak mengenang jasa kepimpinan yang lalu? Ada ketika dahulu kedengaran suara-suara yang amat tidak enak didengar, mencalar dan menjatuhkan keperibadian kepimpinan lalu, tanpa mengira adap dan budi bahasa. Yang lebih menyedihkan, perkataan negatif ini keluar dari mulut pimpinan kita, yang sepatutnya lebih rasional dan terdidik, jadi sekiranya contoh teladan yang buruk ini dipaparkan kepada umum, bagaimanakah masyarakat kita boleh terpimpin dengan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa?

Kemudian Datuk Seri Najib berkata walau bagaimanapun, rakyat diingatkan supaya berhati-hati dengan pihak tertentu yang suka menabur fitnah dan memutarbelitkan fakta. Dalam perjuangan politik, jangan biarkan kita ditipu oleh mainan politik kerana kita merupakan golongan cerdik pandai dan kenal siapa pemimpin kita. Nasihat dari Datuk Seri Najib merupakan satu nasihat yang berguna, tetapi harus diingat, dewasa ini pihak-pihak yang menabur fitnah itu, selalunya mempunyai fakta dan agenda yang relevan dengan perkara yang dikatakan fitnah. Seharusnya pihak kerajaan amat berhati-hati di dalam menangani perkara ini, takut akan menikam diri sendiri kerana rakyat kini sememangnya lebih bijak dan pandai menilai sesuatu kerana mereka tergolong di dalam orang yang bijak pandai sesuai dengan cogankata “Cemerlang, Gemilang Dan Terbilang”.

p/s: Cinta kasih sayang dibina atas prinsip kepercayaan, jadi jangan cuba menghakiskan kepercayaan itu dihati masing-masing.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin