Malaysia Tanah Airku....

March 19, 2007

Bloggers Versi Datuk Seri Mohd Ali Rustam



Tindakan pembangkang menaburkan fitnah dan dakyah memburukkan pemimpin negara menerusi internet serta blog sejak kebelakangan ini dianggap bermusim selepas parti berkenaan ketandusan idea, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, tindakan sedemikian adalah gimik pilihan raya dan ingin meraih simpati, serta orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh. "Jangan percaya dengan fitnah berkenaan dan saya beranggapan ia adalah taktik kotor pembangkang. Maklumat itu tidak tepat dan mengelirukan, ia juga sebagai jalan mudah supaya rakyat membenci pemimpin.

"Jika ada sebarang keraguan, rujuk kepada pemimpin tempatan atau jawatankuasa Umno pada peringkat bahagian dan cawangan masing-masing," katanya ketika ditemui pada Program Mesra Japerun Durian Tunggal bersama Melaka fm, dekat sini, semalam.

Kali ini Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengambil giliran untuk memperkatakan tentang blog. Sesekali terlintas di fikiran kita, berpengaruhkah medium internet dan blog ini?, Kalau dilihat begitu ramai pemimpin kita hari ini, menaruh keperihatinan kepada penulisan di blog-blog ini maka boleh lah kita buat kesimpulan bahawa blog-blog ini memang mempunyai pengaruh yang amat berkesan kepada pemikiran rakyat.

Satu persoalan yang timbul ekoran dari kenyataan Datuk Seri Mohd Ali Rustam ini, ialah dari sudut manakah beliau boleh mengatakan bahawa sesuatu blog itu adalah milik pembangkang? Adakah setiap blog yang mempersoalkan atau mebincangkan sesuatu yang tidak sealiran dengan polisi kerajaan akan dianggap sebagai blog pembangkang? Kalau jawapanya ya, maka pendapat itu boleh dipersoalkan kerana terdapat juga dikalangan Ahli UMNO atau BN sendiri, yang cuba memberikan pendapat atau pandangan mengikut acuan mereka sendiri di blog-blog ini.

Sekiranya adapun blog-blog pembangkang yang wujud, maka pihak kerajaan tidak perlu risau dan bimbang sekiranya mereka dipihak yang benar. Tidak dapat dinafikan terdapat juga segelintir, blog-blog yang dikatakan pembangkang ini, mengeluarkan kenyataan atau tuduhan tanpa fakta dan bukti. Oleh itu tugas kerajaan ialah untuk menjawab dan menghuraikan fakta yang sebenar dengan telus samada melalui media cetak, elektronik dan blog atau laman web pro-kerajaan yang sekarang ini pun muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Bagaimana pula pandangan Datuk Seri Mohd Ali Rustam, tentang blog dan laman web yang Pro Pemerintah? Adakah blog ini bagus dan baik belaka?. Sejauh manakah keikhlasan penulis blog pro-kerajaan ini membincangkan sesuatu isu? Adakah sesuatu isu, itu telus atau sebenarnya mempunyai agenda yang tersendiri?

Memang sepatut nya rakyat menyalurkan keraguan, kepada pemimpin tempatan atau jawatankuasa Umno pada peringkat bahagian dan cawangan masing-masing, tetapi kita harus bertanya kembali kepada kerajaan, adakah jentera penerangan di setiap cawangan atau bahagian ini bergerak dengan sempurna dan atas dasar memperjuangkan rakyat?. Adakah semua aduan dan kemusykilan itu akan sampai keperingkat tertinggi atau paling tidak pun dijawab dengan jawapan yang munasabah? Sejauh mana tindakan dan peranan yang akan diambil oleh mereka? Sampai mana kah karenah birokrasi akan mempengaruhi aduan dan kemusykilan ini?

Sudah tiba masanya, pihak kerajaan berfikiran terbuka dan mengamalkan satu dasar yang bijak. Jangan lah menggunakan alasan “taktik kotor pembangkang” sebagai kesimpulan politik. Rasa nya alasan ini telah lama sangat digunakan. Zaman ini zaman teknologi, banyak sumber yang boleh "diakses" tanpa sempadan, oleh itu keterbukaan ini lambat-laun terpaksa juga diterima pakai walau pun dengan hati yang berat. Pandailah nanti rakyat menilai mana yang benar mana yang salah, keputusan di tangan rakyat. Bak kata Datuk Sri Najib “kita ini merupakan golongan cerdik pandai dan kenal siapa pemimpin kita”.

p/s : Web dan Blog kini merupakan satu medium yang amat berkuasa, kalau tidak masakan pihak kerajaan menaruh bimbang atas kemunculan blog-blog ini.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin