Malaysia Tanah Airku....

Bahasa Jiwa Bangsa



Dalam Utusan Malaysia 21 Disember 2006 melaporkan :

"Trend penggunaan bahasa pasar seperti ‘bahasa rojak’, ‘bahasa SMS’ dan ‘bahasa sembang Internet’ merupakan salah satu punca penggunaan bahasa Melayu dalam perbualan harian semakin merosot".

Adakah anggapan ini benar ? atau pun salah satu cara untuk "mengambing hitamkan" sesuatu isu , bagi menutup kelemahan agensi yang bertanggung jawab?

Cuba kita fikirkan, bagaimanakah caranya untuk berkomunikasi secara bahasa internet atau SMS dalam perbualan seharian? Contoh kalau SMS ditulis begini " ILU" bermaksud "I Luv U" atau "LOL" bermaksud “Loughing out loud" . Adalah amat mustahil semasa kita bertemu orang lalu berkata " ILU" atau "lol" (adalah amat merbahaya jika ia diterjemahkan sebagai tolol). Kesimpulan nya menggunakan bahasa e-mail atau sms di medium yang sepatutnya bukanlah satu perkara yang menjelekkan atau perkara yang akan memusnahkan kedaulatan bahasa melayu itu sendiri. Ini adalah kerana keadaan sekeliling, masa dan bentuk telefon bimbit/komputer itu memperuntukkan ruang yang kecil untuk kita bertindak balas secara normal, maka kependekan sesuatu perkataan itu adalah amat perlu bagi megendalikan komunikasi era baru ini. Seorang pengkaji bahasa menganggap "bahasa SMS'' sebagai "an aberrant world of abbreviations, numeral and pictorial icons" sementara "bahasa e-mel'' dalam dunia siber menggambarkan apa yang dianggap sebagai "pervasive lawlessness".

Sebenarnya terdapat perkara yang lebih besar, menyumbang kepada keruntuhan Bahasa melayu itu sendiri yang cuba dinafikan oleh badan yang bertanggung jawab. Banyak contoh-contoh yang dapat kita lihat antaranya; suatu ketika dulu (Sekitar tahun 2004) kita penah kecoh dengan slogan baru RTM yang menggunakan perkataan "infotainmen'', yang segera mendapat bantahan dari orang-ramai, malah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga mengeluarkan kenyataan “tidak setuju” dengan penggunaan perkataan tersebut oleh RTM, lalu mencadangkan perkataan yang lebih molek iaitu "Infohiburan'' atau "Inforia" yang dianggap lebih tepat dan mantap. Tetapi Menteri Penerangan pada masa itu , Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir menegaskan, RTM akan mengekalkan perkataan "infotainmen", dengan alasan "Infotainmen" adalah perkataan teknikal. Jadi disini dimanakah peranan DBP, ini menunjuk kan bahawa peranan DBP sebagai pendaulat Bahasa Melayu dipandang “enteng “ oleh mereka yang mungkin beranggapan lebih pakar dari DBP itu sendiri.

RTM juga tidak boleh dipersalahkan kerana DBP juga telah menghalalkan penggunaan perkataan "informatif'' dan " informasi" sebagai kata dasar seperti yang terkandung didalam Kamus Dewan. Jadi salah siapakah ini?.

Pada bulan Mac 2006,Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sebuah jawatankuasa dibentuk untuk memantau penggunaan Bahasa Malaysia oleh stesen televisyen dan radio termasuk dalam lirik lagu sebagai usaha menyelaras penggunaannya secara betul. Tetapi hingga kini banyak kepincangan yang muncul , lihat sahaja sarikata melayu yang diterjemahkan di kaca TV, banyak terjemahan yang mengarut, tidak tepat malah amat melucukan contoh nya " Blue Print" diterjemahkan kepada "cetakan biru", tidakkah ini nampak bodoh? Satu contoh lagi dalam satu cerita berbahasa inggeris Pelakun nya telah menyebut "fire !!" yang bermaksud “tembak !!” tetapi telah diterjemahkan menjadi “bakar”. Sepatutnya para penterjemah, mestilah dilantik dari yang tahu bahasa (tidaklah sampai perlukan pakar bahasa) dan mengikut etika dan garis panduan yang betul, bukan nya "hentam keromo" atau asal kerja siap atau pun syok sendiri.

Pihak kerajaan juga sepatut nya memainkan peranan yang sangat penting dalam memartabatkan Bahasa Melayu. Tetapi tindakan kerajaan menamakan setiap taman serta jalan dengan bahasa asing, di Putrajaya adalah amat memalukan dan tidak harus terjadi. Sedangkan Putrajaya merupakan simbol jati diri Negara Malaysia dan pusat pemerintahan negara.

Sikit masa dahulu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr. Rais Yatim pernah menyarankan supaya Perbadanan Putrajaya menukar istilah dan nama-nama Barat di jalan-jalan Putrajaya kepada bahasa kebangsaan, tetapi sehingga hari ini masih tiada tindakan yang dilakukan. Kenapa harus jadi begini?.

Dalam ruangan forum T.S. Lanang pada 19 disember 2006 (Utusan), telah memberikan satu idea (sebenarnya saya anggap T.S. Lanang ingin menyampaikan mesej yang sinis) antara petikan ulasan beliau :

"Sekarang taraf dan mutu terjemahan kita semakin hari semakin teruk. Kalau anda tidak percaya, tontonilah filem atau baca suratkhabar. Kadang-kadang anda boleh ketawa atau anda boleh menangis atau anda boleh pening. Semua perkataan Inggeris yang berakhir dengan tion diterjemahkan dengan lewa kepada ‘si’. Misalnya mitivation jadi motivasi, transaction kepada transaksi. Tujuan kita menulis kali ini adalah untuk mencadangkan istilah untuk perkataan mistress. Sekarang ramai orang sudah kaya dan ramai orang kaya ada mistress. Tetapi kita tidak ada istilah untuk mistress. Istilah ‘gundik’ tidak berapa bagus kerana ini merujuk khas kepada gundik raja. Istilah ‘perempuan simpanan’ pun tidak berapa bagus, kerana ia merujuk kepada perempuan yang disimpan atau perempuan yang menyimpan. Jadi apakah istilah terbaik untuk mistress? Apakah terjemahan untuk miss? Terjemahannya tentulah ‘cik’. Apakah terjemahan untuk stress? Terjemahannya tentulah ‘tekan’ atau ‘tekanan’. Jadi, terjemahan untuk mistress tentulah ‘ciktekan’, bukan?"

Sememang nya apa yang dikatakan T.S. Lanang itu ada benarnya, Sekali pandang tulisan beliau macam betul, tetapi bila kita perhalusi, tidaklah perlu kita sampai begitu bodoh untuk menterjemahkan bahasa kita sebegitu. Sekiranya bahasa melayu kita mempunyai maksud bagi menerangkan sesuatu bahasa asing itu maka tidak perlu lah kita "terhegeh-hegeh, untuk menukar makna dan sebutan nya. Bukankah sedap perkataan "perempuan simpanan" (untuk rakyat biasa) atau "gundik" (untuk raja) bagi merujuk perkataan "Mistress"?. Sekali lagi saya menganggap T.S. Lanang hanya ingin menyindir, supaya kita boleh sedar akan kelemahan kita dalam mempertahankan kedaulatan Bahasa Melayu.

Dalam ruangan "Bisik-Bisik Awang Selamat" yang diterbitkan pada 21 Disember 2006 (Utusan) ada mengulas tentang tulisan T.S. Lanang.

"Awang turut bingung untuk membantu T.S. Lanang. Dan para penterjemah moden kita tidak boleh diharap lagi kerana mereka lebih bingung. Sebab itulah mereka mencari jalan pintas dengan mewujudkan kaedah borong. Lalu tion menjadi ‘si’. Perlukah dicipta ‘motivasi’ sedangkan perkataan ‘dorongan’ dan ‘bina semangat’ sudah lama dipakai? Nasib baik para penterjemah moden ini tidak mencipta istilah baru bagi kapal selam dan kapal terbang. Siapakah yang mencipta terjemahan bagi submarine dan aeroplane itu? Pasti mereka lebih pintar daripada penterjemah moden yang cepat bingung. Awang – Apa terjemahan gigolo? "

Lihat pula tulisan pembaca yang bernama Abdul Hak di Utusan Melayu pada 21 mac 2006;

“ Jari saya menuding kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang telah menghalalkan penambahan ‘si’ untuk memelayukan perkataan Inggeris. Tidak nampak percubaan yang bersungguh-sungguh untuk memperkembangkan perkataan Melayu asli.Malah banyak istilah Melayu asli sekarang hilang ditelan zaman. Kanak-kanak sekolah sudah tidak mengguna perkataan seperti ‘hasil, perasaan, pemikiran’ dan sebagainya. Perkataan ‘produk, emosi’ dan ‘minda’ lebih kerap diguna pakai. Saya tertanya-tanya mengapa perkataan mistress dipilih oleh T.S. Lanang. Kalau sudah dijadikan satu soalan saya inginlah memberi jawapan mengikut kefahaman saya. Perkataan gundik digunakan untuk raja. Gundik adalah singkatan ‘gu-untuk-adinda’. Orang Terengganu menggunakan ‘gu’ untuk regu. Jadi gundik adalah singkatan ‘regu untuk adinda permaisuri’. Rasanya terjemahan untuk mistress ialah ‘guntri’, singkatan ‘regu untuk isteri’. Marilah kita sama-sama membina bahasa Melayu sejati melalui ruangan Forum kalau pihak DBP tidak mempunyai wawasan dan kebolehan.”

Sememangnya tidak ada ketulenan dalam mana-mana bahasa di dunia ini. Bahasa ialah proses penciptaan, peminjaman dan pengubahsuaian. Bahasa akan terus berkembang selagi ada perubahan pada keadaan , tempat dan masa. tetapi janganlah sampai kita menjual bahasa kita ikut suka hati. Sekiranya terdapat bahasa asing yang ada terjemahan nya dalam bahasa melayu itu sendiri maka tidak haruslah kita tukarkan kepada suatu bahasa asing yang cuba dimelayukan. Lainlah perkataan seperti "Internet", " WAP " , "WIFI", "3G", Ghotic (sekadar yang ingat) yang muncul lebih cepat dari istilah bahasa melayu itu sendiri. Tidak payahlah DBP bersusah payah hendak memelayukan sebutan tersebut, sedangkan bahasa yang ada dasar melayu nya pun ditukar ke istilah ala-ala inggeris.

BAHASA JIWA BANGSA

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin