Malaysia Tanah Airku....

March 12, 2007

MUFTI DAN MUALLAF SATU ANJAKAN


Majlis Fatwa Negeri Perlis telah menetapkan bahawa orang bukan Islam yang memeluk agama Islam wajib mengekalkan nama bapa atau keturunannya tanpa perlu menukar nama asal dengan "bin" atau "binti Abdullah". Mufti Negeri Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata fatwa itu bertujuan menangani rungutan daripada orang bukan Islam yang menyatakan bahawa hak mereka untuk mengekalkan nama bapa atau keturunan apabila memeluk agama Islam telah dinafikan

Sebenarnya isu ini telah dibawa oleh saya , kepada pegawai-pegawai PERKIM tiga tahun dahulu. Dan jawapan yang saya terima pada ketika itu, ialah mereka hanya mengikut prosedur dan amalan biasa.

Saya sebenarnya menyokong, pendapat Mufti Negeri Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, kerana saya bercakap melalui pengalaman, rata-rata saudara baru yang menukar nama keluarga nya akan menyebabkan ia mengguris hati kaum keluarga nya. Satu pertanyaan yang sukar saya jawab, ialah apabila ditanya "Adakah sesuatu yang hina untuk mengekalkan nama ayah atau keluarga asal untuk dipakai oleh mualaf"?.

Saya juga terbaca kenyataan dan pandangan pegawai PERKIM negeri yang hanya memakai perkataan mungkin sebagai dalil menguatkan asas perbincagan nya.

Antara lain beliau berkata

1 ) Mungkin Nama asalnya atau nama keturunan itu membawa makna yang tidak elok.

Islam adalah agama universal dianuti berbagai bangsa dan bahasa. Apa pun agama di dunia ini, secara rasional ia akan memberikan nama anak atau keluarga dengan gelaran yang baik-baik. Adalah amat mengaibkan dan memalukan sekiranya kita mengambil kesimpulan bahawa nama orang dari bangsa yang lain adalah amat tidak elok mengikut bahasa yang kita fahami. Bagaimanakah kita dapat menarik anggota keluarga mereka yang lain (bukan beragama islam) untuk cinta kepada islam, sedangkan kita awal-awal lagi telah mencemuh intergeriti keluarga mereka? Saya ingin bertanya berapa peratuskah penggunaan nama yang tidak baik mengikut erti islam itu wujud? Adakah peratusan ini mampu untuk membantutkan keinginan untuk merapatkan jurang agama ini? Jadi seharusnya kita memperjuangkan kearah menyebarkan islam ditahap yang paling terhormat dan menyeluruh. Janganlah kita dibelenggu dengan anggapan-anggapan yang hanya akan melemahkan islam itu sendiri.

2) Dengan mengekalkan nama asal, mereka mungkin berasa kurang selesa dan mungkin mewujudkan rasa sangsi di kalangan masyarakat".

Apakah klasifikasi yang dipakai oleh PERKIM untuk menerangkan konsep “Masyarakat”? Selama ini adilkah layanan masyarakat kita kepada mualaf ini ?. Siapakah yang selama ini menaruh sangsi kepada mualaf? Dengan menukar bin atau binti pun masyarakat kita masih kurang kesedaran terhadap golongan mualaf, ditambah lagi dengan sisihan keluarga yang nama keluarga nya pun dinafikan hak nya.

Pihak PERKIM, usahlah memeningkan kepala untuk menidakkan usaha yang baik ini. Saranan Mufti Perlis sudah kena pada tempatnya. Sampai bila kita akan melabelkan islam itu suatu agama yang tidak ada “toleransi” dimata penganut lain.PERKIM harus turun padang melihat sendiri bagaimana payah nya mualaf ini untuk menyambung tali siratulrahim dengan keluarga asal mereka. Betapa sukarnya mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan baru apatah lagi nama mereka juga sudah amat berbeza dan tidak menggambarkan sifat kekeluargaan.

Adalah amat diharapkan amalan-amalan yang bertentangan dengan islam itu, akan terus dihapuskan. Jangan ada lagi adat yang dijadikan hukum dasar dalam amalan islam di negara kita. Jadikanlah Islam itu agama yang mudah dan mesra, bukan nya satu agama yang penuh kebencian kepada bangsa lain. Yang paling penting sikap prejudis dikalangan masyarakat itu harus dihapuskan dan dididik dengan cara islam yang sebenar nya.


p/s : Islam itu mudah jangan diperpayahkan……Di harap fatwa ini akan diwartakan keseluruh negara.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin